ZAKAT fitrah adalah tuntutan yang wajib ditunaikan apabila seseorang memenuhi syarat-syaratnya. Ini berdasarkan hadis yang bermaksud: “Rasulullah memfardukan zakat fitrah pada Ramadan segantang tamar atau segantang gandum atas orang Islam sama ada hamba sahaya atau merdeka, lelaki atau perempuan, kecil atau besar.”
ZAKAT fitrah adalah tuntutan yang wajib ditunaikan apabila seseorang memenuhi syarat-syaratnya. Ini berdasarkan hadis yang bermaksud: “Rasulullah memfardukan zakat fitrah pada Ramadan segantang tamar atau segantang gandum atas orang Islam sama ada hamba sahaya atau merdeka, lelaki atau perempuan, kecil atau besar.”
Hukum mengeluarkan zakat fitrah turut diperuntukkan dalam enakmen setiap negeri ketika ini. Berdasarkan seksyen 16 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah berkaitan zakat fitrah, dijelaskan: ‘Mana-mana orang wajib membayar zakat atau fitrah tetapi:
(a) enggan membayar atau dengan sengaja tidak membayar zakat atau fitrah itu; atau
(b) enggan membayar atau dengan sengaja tidak membayar zakat atau fitrah itu melalui amil yang dilantik, atau mana-mana orang lain yang diberi kuasa oleh Majlis untuk memungut zakat atau fitrah, adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.’

Seksyen ini menggariskan bahawa menjadi kesalahan apabila seseorang gagal atau enggan menyempurnakan kewajipan zakat fitrah. Sesungguhnya, peruntukan ini terpakai kepada sesiapa saja yang enggan membayar zakat fitrah sedangkan dirinya cukup syarat.
Umat Islam hendaklah bersegera dalam mengeluarkan zakat dengan menyedari bahawa ia adalah antara tuntutan Rukun Islam yang lima.
Sesungguhnya, Islam seseorang belum lagi sempurna jika tidak mengeluarkan zakat.
Setiap Muslim hendaklah mengeluarkannya dengan hati terbuka, ikhlas dan bukannya berasakan ia adalah satu paksaan.
Kefarduan mengeluarkan zakat fitrah pada Ramadan adalah bukti bahawa umat Islam perlu hidup bertolak ansur dan bersatu padu tanpa membezakan status ekonomi, keturunan, pendidikan dan kadar ketakwaan.
Ini seiring dengan fungsinya untuk meningkatkan daya saing ekonomi kaum dua’fa (orang lemah). Mereka ialah fakir, orang miskin, amil yang menguruskan zakat, mualaf yang dijinakkan hatinya, hamba yang hendak memerdekakan dirinya, orang berhutang, untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah dan orang dalam perjalanan.
Jelasnya, dengan zakat itu dapat merapatkan jurang pendapatan antara orang kaya dan miskin.
Zakat fitrah diwajibkan pada Ramadan kerana Allah memberi keistimewaan kepada Ramadan sebagai bulan toleransi dan perpaduan antara kaya dan miskin.
Orang kaya difardukan berpuasa bagi membolehkan mereka merasakan keperitan hidup orang miskin apabila menahan lapar dan dahaga kerana ketidakmampuan memenuhi hajat hidup.
Dengan itu, akan timbul kesedaran dan rasa simpati terhadap keperitan hidup orang miskin. Rasa simpati ini dibuktikan dengan kesediaan mereka membayar zakat fitrah.
Zakat fitrah juga berfungsi membersihkan jiwa pembayar serta menimbulkan nilai toleransi dan perpaduan orang kaya terhadap orang miskin.
Hakikatnya, zakat berfungsi sebagai amalan ibadat untuk mendekatkan diri kepada Allah hingga menjauhkan manusia daripada sifat mencintai dunia secara berlebihan dan melupakan hari akhirat.
Hikmatnya zakat juga dapat menyucikan diri orang yang berpuasa kerana ada kemungkinan dirinya itu mengalami kesan kelalaian, kerosakan puasanya. Begitu juga dia akan mengelakkan orang fakir dan miskin daripada meminta-minta pada hari raya.
Ibnu Abbas berkata yang bermaksud: “Rasulullah telah memfardukan zakat fitrah sebagai menyucikan orang yang berpuasa daripada sia-sia dan kerosakan untuk menjadi makanan pada orang miskin.”
Islam menetapkan lapan asnaf yang berhak menerima zakat. Dalam al-Quran, Allah berfirman maksudnya: “Sesungguhnya sedekah (zakat) itu hanya tertentu untuk orang fakir, miskin, amil yang menguruskan zakat, muallaf yang dijinakkan hatinya dan hamba yang ingin membebaskan diri (diberi peluang menebus diri tetapi tidak mampu), orang berhutang.
“Orang yang berjuang di jalan Allah dan orang musafir (yang kehabisan bekalan) dalam perjalanan, sebagai kewajipan fardu yang ditetapkan Allah, dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.” (Surah at-Taubah, ayat 60).
Bagaimanapun, masih ada umat Islam yang mengambil mudah kewajipan berzakat fitrah. Mereka terlupa mengeluarkannya hingga tiba Aidilfitri.
Mengikut syarak, zakat fitrah perlu dilakukan sepanjang Ramadan manakala hukumnya menjadi haram selepas solat Aidilfitri.
Perkara ini ada disebut Rasulullah saw dalam sabdanya yang bermaksud : “Zakat fitrah itu dibuat bagi membersihkan orang yang berpuasa daripada percakapan yang sia-sia dan kotor dan k makanan bagi orang miskin.
“Sesiapa yang menunaikannya sebelum solat Aidilfitri, maka itulah zakat yang diterima. Dan sesiapa yang membayar zakatnya sesudah solat, maka itu adalah sedekah biasa saja.” (Hadis riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah).
Berdasarkan hadis ini, janganlah kita berlengah untuk berzakat fitrah. Ingatkanlah ahli keluarga dan rakan supaya ibadat yang difardukan setahun sekali ini dapat dilakukan tepat pada masanya.